Wednesday, March 30, 2011

PMO FC vs UNITEN FC



Selamat Sejahtera



Y.Bhg Tan Sri/Dato'/Tuan,
 
Dengan hormatnya saya diarah merujuk kepada perkara di atas.
 
2.  Sukacita dimaklumkan bahawa Perlawanan Persahabatan Bola Sepak Padang antara PMO FC dengan UNITEN FC  akan diadakan pada tarikh dan masa seperti berikut :
 
     Tarikh    :  1 APRIL 2011 (JUMAAT)
     Masa      :  5.30pm – 7.15pm
     Tempat  :  Stadium UNITEN, Bangi.
 
Kehadiran dan penyertaan serta sokongan daripada Y.Bhg Tan Sri/Dato'/Tuan, amatlah dihargai.
 
Sekian, terima Kasih.


Keputusan Perlawanan : PMO FC (4) - UNITEN FC (2)

Monday, March 21, 2011

Sukarelawan 1Malaysia PMO FC bersama Program Gotong Royong Rakyat

Utusan Online (21/03/2011)
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0321&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_19.htm

Friday, March 18, 2011

Futsal Mesra PMO FC vs MCKK FC

Assalamualaikum..


PMO FC menerima kunjungan sebahagian pelajar Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) pada malam 17 Mac 2011. Kedatangan mereka yang dianggarkan seramai 30 orang ini bagi mengadakan perlawanan persahabatan Futsal bertempat di Gelanggang Futsal PUSPANITA, Presint 10. Perlawanan ini lebih kepada hubungan mesra bagi melengkapkan jadual perjalanan pelajar Kolej yang ingin mengenali dengan lebih dekat Pejabat Perdana Menteri itu sendiri. Ini juga peluang terbaik bagi PMO FC untuk mendapatkan info yang lebih jelas mengenai Kolej melayu tersebut. Perlawanan persahabatan ini turut dihadiri Datuk Latt Shariman (Pegawai Tugas-Tugas Khas YAB Perdana Menteri) dan isteri bagi memberi semangat kesukanan kepada semua.

Perlawanan berakhir sekitar jam 11 malam dengan kedua-dua pasukan melahirkan harapan agar program kemesraan ini dapat diteruskan lagi.

Disini dapat dikongsikan sedikit maklumat yang menarik mengenai Kolej Melayu Kuala Kangsar yang merupakan salah satu sejarah bagi Negara Malaysia.

Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) yang ditubuhkan pada tahun 1905 adalah sekolah menengah berasrama yang pertama untuk pelajar-pelajar Melayu di negara ini. Sekolah ini yang asalnya dinamakan Sekolah Asrama Melayu telah diberi nama Kolej Melayu Kuala Kangsar (Malay College Kuala Kangsar) oleh Sultan Perak, Almarhum Sultan Idris, sewaktu baginda merasmikan bangunan konkrit sekolah terunggul ini pada 11 Disember 1909. 

Pada peringkat awal, kemasukan ke MCKK dikhaskan kepada anak-anak raja Melayu dan anak orang-orang bangsawan dari empat negeri iaitu Perak, Pahang, Selangor dan Negeri Sembilan. Menjelang tahun 1947, pihak British telah melonggarkan syarat kemasukan kepada anak-anak orang biasa yang mendapat keputusan cemerlang dalam bidang akademik. 

Pada tahun pertama persekolahan, seramai 59 orang pelajar telah mendaftarkan diri. Antara pelajarnya yang pertama termasuklah Almahum D.Y.M. Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong yang pertama. Guru Besar pertama dilantik mentadbirkan MCKK ialah William Hargreaves (1905-1918).

Fiat Sapientia Virtus adalah dalam Bahasa Latin, yang bermaksud Kebijaksanaan Mutu Manusia.

Sekian..

Wednesday, March 16, 2011

PMO FC vs TPM FC

Assalamualaikum..

PMO FC kembali mengatur perlawanan persahabatan, walaupun baru tiba dari Pulau Pinang dua hari yang lepas. Keadaan sedemikian sama sekali tidak menghalang PMO FC memberikan komitmen yang terbaik. Perlawanan persahabatan ini telah diadakan pada 15 Mac 2011 (selasa), dimana pasukan adik kepada PMO FC menjadi lawan seterusnya. Pasukan Bola Sepak Pejabat Timbalan Perdana Menteri (TPM FC) menanti kunjungan PMO FC di Padang Bola Sepak UNITEN (A), Bangi.

Tanpa kehadiran pengurus pasukan PMO FC pada perlawanan ini sedikit merubah posisi pemain, dimana sebahagian pemain diminta bermain di posisi baru. Keadaan ini menyebabkan permainan agak perlahan diawalnya dengan setiap pemain mula menyesuaikan diri dengan posisi baru. Namun PMO FC tidak menunggu lama apabila berjaya menghasilkan gol melalui satu serangan yang menarik. Berakhir separuh masa pertama dengan PMO FC mendahului dengan jaringan 3-0.

Kekuatan dan semangat PMO FC kembali memuncak pada separuh masa kedua dengan manambah lagi 4 jaringan. Kedudukan kini sudah berubah dengan PMO FC memperolehi 7 gol berbanding pasukan TPM FC yang masih lagi buntu mencari jaringan. Minit terakhir perlawanan menyaksikan gol yang nantikan oleh TPM FC menjelma namun sudah terlambat buat mereka bagi merapatkan kedudukan. Tiupan wisel terakhir menandakan PMO FC Berjaya mengatasi TPM FC dengan jaringan 7-1.

Sekian.. 

Monday, March 14, 2011

Jelajah 1Malaysia PMO FC ke Pulau Pinang

Assalamualaikum..

Tempoh 24 jam penuh makna, antara keseronokan jelajah dan jalinan siratulrahim. Itulah kesimpulan peserta PMO FC dalam Jelajah 1Malaysia ke Pulau Pinang pada 11-12 Mac 2011. Pelbagai kenangan manis dapat dirakam pada program yang dianjurkan oleh Wakil Penduduk Bahagian Jelutong, Pulau Pinang ini.

Berikut catatan perjalanan Jelajah 1Malaysia PMO FC ke Pulau Pinang.

Jumaat 

09.00 malam : Semua peserta Jelajah 1Malaysia PMO FC berkumpul di Kawasan Pakir Pejabat Perdana Menteri, Putrajaya. Semua kelengkapan siap diatur dan sesi taklimat khas diadakan sebelum memulakan perjalanan ke destinasi. Sebaik selesai bacaan doa, semua peserta berkumpul untuk sesi bergambar sebagai penanda bermulanya Jelajah 1Malaysia PMO FC.  

10.00 malam : Bas yang membawa peserta mula bergerak menuju ke destinasi. Pergerakan pada waktu malam bagi melancarkan perjalanan dan memberikan rehat yang secukupnya kepada semua peserta. Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Restoran Jejantas Sungai Buloh, Selangor arah utara dijadikan lokasi hentian pertama diikuti hentian Simpang Pulai dan Plaza Tol Juru sebagai hentian terakhir sepanjang perjalanan .

Sabtu

5.00 pagi : Tiba di Pulau Pinang melalui 
jambatan yang terpanjang di Asia Tenggara dan ketiga terpanjang di dunia. Jambatan yang mempunyai panjang kira-kira 13.5 kilometer di mana 8.4 kilometer daripadanya merentasi laut. Peserta jelajah disambut mesra wakil penduduk Bahagian Jelutong yang mengalu-alukan kedatangan peserta sambil memberikan sedikit penerangan ringkas. Pagi yang dingin ini membawa peserta untuk menikmati minum pagi di Restoran Original Kayu Nasi Kandar Sdn. Bhd. yang amat terkenal di Pulau Pinang. Peserta ghairah untuk meneruskan perjalanan ke penginapan yang disediakan kerana rata-rata sudah tidak sabar untuk melelapkan mata diatas tilam empuk yang lebih selesa. Penganjur memilih B-Suite hotel sebagai tempat penginapan.

06.00 pagi : Mendaftar masuk ke bilik masing-masing, Namun setiap peserta hanya dibenarkan tidur selama 2 jam sahaja. Aktiviti yang seterusnya masih menanti. 

8.30 pagi : Berkumpul di hadapan B-suite hotel untuk penerangan lengkap mengenai aktiviti yang akan dijalankan sepanjang program Jelajah 1Malaysia ini. Semua peserta seterusnya menuju ke Medan Makan Taman Tun Sardon, Gelugor untuk menikmati juadah pagi sambil beramah mesra dengan penduduk setempat. Dalam keasyikan menikmati hidangan Serabai dan Capati, para peserta mengedarkan buku beserta pin 1Malaysia kepada orang ramai. Keenakan Char Koew Teow resepi asli Pulau Pinang memang tidak dapat dinafikan. Peluang fotografi juga tidak dilepaskan apatah lagi bergambar bersama ‘Anak Mami Penang’ yang begitu manis memikat.

10.30 pagi : Bergerak ke Stadium Bandaraya Pulau Pinang. Kunjungan ke Stadium ini bukan untuk perlawanan bola sepak tetapi mengunjungi pasar pagi yang lebih dikenali dengan nama ‘Rope Walk’ atau Lorong Kulit yang terletak berhampirannya.
Ketika sampai disana peserta sangat terkejut. Telalu banyak barang-barang antik terdapat disini. Daripada duit syiling lama, seterika arang, parang dan pisau lama, koleksi botol Coca-Cola, hinggalah kepada VCD lama, basikal tua, kalung-kalung lama, kipas zaman-zaman dulu, cermin mata retro, mesin jahit lama dan bermacam lagi. Tak mampu untuk sebutkan semuanya. Tapi apa yang dapat disimpulkan, Rope Walk memang best!!.

12.30 tengah hari : Setelah penat menjamu mata, tibalah masa untuk menikmati makan tengah hari. Penganjur memilih Restoran Hammer Bay yang terletak di persisir pantai Queensbay Mall. Menikmati masakan Gulai Kepala Ikan Penang, Ikan Bakar dan ulam-ulaman sambil melihat panorama laut yang indah, pemandangan Jambatan Pulau Pinang beserta Pulau Jerejak dengan angin pantai yang menghembus damai, begitu mengasyikkan.

1.30 petang : Bergerak pulang ke penginapan buat sementara waktu. Inilah masa yang sebaiknya merehatkan badan.

3.30 petang : Peserta mendaftar keluar dan menuju ke Bazar Chowrasta yang amat terkenal dengan jualan murah, tetapi sebagai buah tangan untuk dibawa pulang, jeruk buah menjadi pilihan utama.

5.00 petang : Tiba di padang polo untuk perlawanan persahabatan bola sepak diantara PMO FC bersama pasukan Pilihan Pulau Pinang. Hujan rintik-rintik turun mengiringi perlawanan ini. Keputusan perlawanan tidak memihak kepada pasukan PMO FC apabila tewas dengan jaringan 1-3. Bertukar-tukar cenderahati sesama pemain dan merakam gambar kenangan sebelum bersalam-salaman menandakan berakhirnya perlawanan persahabatan ini.

7.00 malam : Menuju ke Jalan Dato Keramat, Georgetown untuk menjamu selera di Medan Selera Padang Brown yang terkenal dengan masakan yang enak dan tidak mungkin dapat dinikmati di tempat lain. Juadah yang dipesan oleh peserta antaranya Laksa , Pasembur, Mee goreng mamak, Satay, Sup dan yang paling memikat selera ialah Chelor-chelor.

8.00 malam : Program Jelajah 1Malaysia PMO FC berakhir dan semua peserta diberikan kata-kata akhir dari penganjur dan pengurus pasukan PMO FC dalam mengeratkan lagi siratulrahim yang telah terjalin walaupun dalam tempoh yang singkat. Sesi fotografi terakhir dirakamkan sebagai kenangan. Lambaian kini sudah memisahkan apabila peserta jelajah mula meninggalkan keindahan yang sudah sampai ke penghujungnya.

8.30 malam : Perjalanan melepasi Jambatan Pulau Pinang menuju ke Putrajaya. Sebahagian peserta mengambil masa sendiri membuai perasaan. Terbayang keseronokan dan kemesraan masyarakat setempat menyambut kedatangan peserta ditambah lagi masih terawang-awang difikiran senyuman manis ‘Anak Mami Penang' yang amat meruntun jiwa. Mudah-mudahan ada lagi masa untuk kita bertemu.

Ahad

3.30 pagi : Alhamdulillah, peserta selamat tiba di Putrajaya. Bacaan doa kesyukuran diaminkan bagi menutup Program Jelajah 1Malaysia PMO FC ke Pulau Pinang yang telah berakhir. Peserta bersurai dan bergerak ke destinasi masing-masing.

Sekian..



  













test