Monday, March 14, 2011

Jelajah 1Malaysia PMO FC ke Pulau Pinang

Assalamualaikum..

Tempoh 24 jam penuh makna, antara keseronokan jelajah dan jalinan siratulrahim. Itulah kesimpulan peserta PMO FC dalam Jelajah 1Malaysia ke Pulau Pinang pada 11-12 Mac 2011. Pelbagai kenangan manis dapat dirakam pada program yang dianjurkan oleh Wakil Penduduk Bahagian Jelutong, Pulau Pinang ini.

Berikut catatan perjalanan Jelajah 1Malaysia PMO FC ke Pulau Pinang.

Jumaat 

09.00 malam : Semua peserta Jelajah 1Malaysia PMO FC berkumpul di Kawasan Pakir Pejabat Perdana Menteri, Putrajaya. Semua kelengkapan siap diatur dan sesi taklimat khas diadakan sebelum memulakan perjalanan ke destinasi. Sebaik selesai bacaan doa, semua peserta berkumpul untuk sesi bergambar sebagai penanda bermulanya Jelajah 1Malaysia PMO FC.  

10.00 malam : Bas yang membawa peserta mula bergerak menuju ke destinasi. Pergerakan pada waktu malam bagi melancarkan perjalanan dan memberikan rehat yang secukupnya kepada semua peserta. Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Restoran Jejantas Sungai Buloh, Selangor arah utara dijadikan lokasi hentian pertama diikuti hentian Simpang Pulai dan Plaza Tol Juru sebagai hentian terakhir sepanjang perjalanan .

Sabtu

5.00 pagi : Tiba di Pulau Pinang melalui 
jambatan yang terpanjang di Asia Tenggara dan ketiga terpanjang di dunia. Jambatan yang mempunyai panjang kira-kira 13.5 kilometer di mana 8.4 kilometer daripadanya merentasi laut. Peserta jelajah disambut mesra wakil penduduk Bahagian Jelutong yang mengalu-alukan kedatangan peserta sambil memberikan sedikit penerangan ringkas. Pagi yang dingin ini membawa peserta untuk menikmati minum pagi di Restoran Original Kayu Nasi Kandar Sdn. Bhd. yang amat terkenal di Pulau Pinang. Peserta ghairah untuk meneruskan perjalanan ke penginapan yang disediakan kerana rata-rata sudah tidak sabar untuk melelapkan mata diatas tilam empuk yang lebih selesa. Penganjur memilih B-Suite hotel sebagai tempat penginapan.

06.00 pagi : Mendaftar masuk ke bilik masing-masing, Namun setiap peserta hanya dibenarkan tidur selama 2 jam sahaja. Aktiviti yang seterusnya masih menanti. 

8.30 pagi : Berkumpul di hadapan B-suite hotel untuk penerangan lengkap mengenai aktiviti yang akan dijalankan sepanjang program Jelajah 1Malaysia ini. Semua peserta seterusnya menuju ke Medan Makan Taman Tun Sardon, Gelugor untuk menikmati juadah pagi sambil beramah mesra dengan penduduk setempat. Dalam keasyikan menikmati hidangan Serabai dan Capati, para peserta mengedarkan buku beserta pin 1Malaysia kepada orang ramai. Keenakan Char Koew Teow resepi asli Pulau Pinang memang tidak dapat dinafikan. Peluang fotografi juga tidak dilepaskan apatah lagi bergambar bersama ‘Anak Mami Penang’ yang begitu manis memikat.

10.30 pagi : Bergerak ke Stadium Bandaraya Pulau Pinang. Kunjungan ke Stadium ini bukan untuk perlawanan bola sepak tetapi mengunjungi pasar pagi yang lebih dikenali dengan nama ‘Rope Walk’ atau Lorong Kulit yang terletak berhampirannya.
Ketika sampai disana peserta sangat terkejut. Telalu banyak barang-barang antik terdapat disini. Daripada duit syiling lama, seterika arang, parang dan pisau lama, koleksi botol Coca-Cola, hinggalah kepada VCD lama, basikal tua, kalung-kalung lama, kipas zaman-zaman dulu, cermin mata retro, mesin jahit lama dan bermacam lagi. Tak mampu untuk sebutkan semuanya. Tapi apa yang dapat disimpulkan, Rope Walk memang best!!.

12.30 tengah hari : Setelah penat menjamu mata, tibalah masa untuk menikmati makan tengah hari. Penganjur memilih Restoran Hammer Bay yang terletak di persisir pantai Queensbay Mall. Menikmati masakan Gulai Kepala Ikan Penang, Ikan Bakar dan ulam-ulaman sambil melihat panorama laut yang indah, pemandangan Jambatan Pulau Pinang beserta Pulau Jerejak dengan angin pantai yang menghembus damai, begitu mengasyikkan.

1.30 petang : Bergerak pulang ke penginapan buat sementara waktu. Inilah masa yang sebaiknya merehatkan badan.

3.30 petang : Peserta mendaftar keluar dan menuju ke Bazar Chowrasta yang amat terkenal dengan jualan murah, tetapi sebagai buah tangan untuk dibawa pulang, jeruk buah menjadi pilihan utama.

5.00 petang : Tiba di padang polo untuk perlawanan persahabatan bola sepak diantara PMO FC bersama pasukan Pilihan Pulau Pinang. Hujan rintik-rintik turun mengiringi perlawanan ini. Keputusan perlawanan tidak memihak kepada pasukan PMO FC apabila tewas dengan jaringan 1-3. Bertukar-tukar cenderahati sesama pemain dan merakam gambar kenangan sebelum bersalam-salaman menandakan berakhirnya perlawanan persahabatan ini.

7.00 malam : Menuju ke Jalan Dato Keramat, Georgetown untuk menjamu selera di Medan Selera Padang Brown yang terkenal dengan masakan yang enak dan tidak mungkin dapat dinikmati di tempat lain. Juadah yang dipesan oleh peserta antaranya Laksa , Pasembur, Mee goreng mamak, Satay, Sup dan yang paling memikat selera ialah Chelor-chelor.

8.00 malam : Program Jelajah 1Malaysia PMO FC berakhir dan semua peserta diberikan kata-kata akhir dari penganjur dan pengurus pasukan PMO FC dalam mengeratkan lagi siratulrahim yang telah terjalin walaupun dalam tempoh yang singkat. Sesi fotografi terakhir dirakamkan sebagai kenangan. Lambaian kini sudah memisahkan apabila peserta jelajah mula meninggalkan keindahan yang sudah sampai ke penghujungnya.

8.30 malam : Perjalanan melepasi Jambatan Pulau Pinang menuju ke Putrajaya. Sebahagian peserta mengambil masa sendiri membuai perasaan. Terbayang keseronokan dan kemesraan masyarakat setempat menyambut kedatangan peserta ditambah lagi masih terawang-awang difikiran senyuman manis ‘Anak Mami Penang' yang amat meruntun jiwa. Mudah-mudahan ada lagi masa untuk kita bertemu.

Ahad

3.30 pagi : Alhamdulillah, peserta selamat tiba di Putrajaya. Bacaan doa kesyukuran diaminkan bagi menutup Program Jelajah 1Malaysia PMO FC ke Pulau Pinang yang telah berakhir. Peserta bersurai dan bergerak ke destinasi masing-masing.

Sekian..



  













No comments:

Post a Comment

test